Pentadbir terus kawal harta Jacko
Ibu Raja Pop mahu tuntutan diambil kira

LOS ANGELES: Mahkamah di sini, kelmarin memberi pentadbir lanjutan tiga bulan lagi untuk mengawal harta peninggalan Michael Jackson yang bernilai jutaan dolar, tetapi mengarah mereka segera menyelesaikan pertikaian dengan ibu Raja Pop itu.

Katherine Jackson, 79, pewaris harta bernilai kira-kira AS$400 juta (RM1.39 bilion) itu, bersama tiga anak penyanyi berkenaan dan badan kebajikan, mahu suaranya diambil kira pentadbir – peguam John Branca dan ahli perniagaan John McClain dalam membuat sebarang keputusan berhubung harta peninggalan itu.

Julai lalu, dua minggu selepas kematian mengejut penyanyi Thriller pada 25 Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Los Angeles Mitchell Beckloff memberi kawalan sementara harta Raja Pop itu kepada Branca dan McClain, pentadbir bersama wasiat Jackson pada 2002.

Beckloff kelmarin melanjutkan tempoh kawalan berkenaan sehingga 4 Januari dan berkata pentadbir mempunyai keupayaan untuk memenuhi sebarang tuntutan kreditor.

Katherine tidak kelihatan pada perbicaraan kelmarin, namun suaminya Joseph Jackson hadir.

Sesetengah keputusan dibuat berhubung harta peninggalan Michael sejak kematiannya mencetuskan perbalahan di antara ibunya dan pentadbir sehingga mengheret perbicaraan panjang di mahkamah.

Dalam satu contoh, Katherine membantah rancangan promoter konsert ‘AEG Live’ untuk mengadakan pameran jelajah memorabilia anaknya.

Ogos lalu, Branca dan McClain diberi kelulusan membuat perjanjian dengan Sony Pictures Entertainment bagi mengedarkan satu filem, This Is It, berdasarkan rakaman video latihan Jackson untuk konsertnya di London bermula Julai lalu.

Branca dan McClain juga berupaya mendapatkan kelulusan mencetak semula autobiografi Jackson pada 1988, ‘Moonwalk’. Jackson mati Julai lalu akibat penggunaan ubatan berlebihan pada usia 50 tahun dan polis masih menyiasat sama ada untuk membuat dakwaan ke atas mana-mana doktor merawatnya.

Penyanyi itu meninggalkan kira-kira AS$400 juta hutang, tetapi pentadbir berkata mereka mampu meningkatkan nilai harta Raja Pop itu sekurang-kurangnya AS$200 juta (RM760 juta). – Reuters