Pekerja buat laporan polis dihina – ‘bitch’
Berikutan itu, Krishnavaeni Rengasamy, 42, membuat laporan polis semalam kerana diherdik dengan kata-kata penghinaan oleh pegawainya itu.

Krishnavaeni (kanan) berkata, pegawai berkenaan memanggilnya dengan panggilan “bitch” (pelacur).

Bercakap dalam satu sidang media di sebuah restoran di Brickfields hari ini, ibu kepada empat orang anak itu berkata beliau berasa sangat sedih apabila diherdik dengan bahasa sebegitu.

“Saya sangat terkejut dengan (perbuatan ini kerana saya seorang India warga Malaysia dan ibu kepada empat orang anak.

“Memanggil saya dengan panggilan ‘bitch’ adalah sangat menghina saya,” katanya dalam laporan polisnya.
Cuti setengah hari

Beliau bagaimanapun masih lagi bekerja di syarikat berkenaan sebagai pembancuh kopi dan mengambil cuti setengah hari untuk hadir ke sidang media petang ini.

Dalam laporan polisnya, ibu tunggal itu berkata insiden tersebut bermula dengan satu pertengkaran dalam kejadian pada jam 7 petang di pejabat syarikat itu di Brickfields.

Krishnavaeni menjelaskan, pegawai berkenaan mengadu bahawa beliau tidak membersihkan biliknya dengan baik.

Dakwaan itu dinafikannya dan beliau meminta pegawai tersebut menghubunginya pada waktu kerja untuk menangani perkara itu.

“Beliau kemudiannya memarahi saya, katanya ‘get out of my room you bitch’,” kata Krishnavaeni dalam laporannya.

Beliau hadir ke sidang media hari ini bersama presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr Jacob George.

Dalam sidang media sama, Dr Jacob berkata, beliau memberi tempoh selama tujuh hari kepada syarikat itu untuk menjawab dakwaan yang dibuat oleh Krishnavaeni.

Katanya, selepas tempoh itu, beliau antara lainnya akan menggesa Kementerian Dalam Negeri untuk menamatkan visa pegawai warga India yang terlibat dalam kes berkenaan.