Asri: Umno seakan PAS era 80-an, perlu elak pandangan sempit

KUALA LUMPUR, 24 Okt — Bekas mufti Perlis berkata, Umno perlu mengambil pendekatan praktikal memandangkan parti utama BN itu membawa isu-isu yang menjadikannya “seakan-akan PAS era 1980-an” dan kelihatan mengadaptasi pandangan “sempit” lagi tidak relevan dengan persekitaran semasa,
Justeru kata Dr Mohd Asri Zainul Abidin , ketika PAS mula menonjolkan diri lebih terbuka dan cuba mengambil pandangan yang lebih relevan untuk partinya, Umno pula memainkan isu-isu yang “lekeh”.
Dalam kebanyakan isu sejak setahun dua ini, PAS mengambil pendekatan dari sudut bertentangan berbanding Umno dan dilihat lebih “progresif”.
Bagaimanapun pendirian PAS itu juga mendapat perhatian perwakilan Umno yang membahaskan ucapan dasar presiden dan usul-usul.
Umno selesai mengadakan perhimpunan agung tahunannya semalam. Ia turut membincangkan usul agama dan pendidikan.
Kata Asri, Umno atau selain mereka, dalam memilih pandangan-pandangan agama dalam negara yang berbilang bangsa dan agama ini, hendaklah memilih pandangan yang paling kuat dari segi dalil dan dalam masa yang sama memenuhi keperluan suasana negara.
Sehubungan tegas Asri, Islam akan menjadi mangsa jika isu-isu agama dimainkan mengikut selera politik.
“Dukacita pada pandangan saya, Umno kebelakangan ini memainkan isu-isu yang menjadikan Umno seakan PAS di era 80-an.
“Ketika PAS mula menonjolkan diri lebih terbuka dan cuba mengambil pandangan-pandangan yang lebih relevan untuk partinya, Umno pula memainkan isu-isu yang ‘lekeh’.
“Isu-isu bukan Muslim tidak boleh masuk masjid, tidak boleh berdoa untuk bukan Muslim, isu wang judi dan seumpamanya menjadikan Umno kelihatan mengadaptasi pandangan-pandangan sempit dan tidak relevan untuk sebuah pemerintahan yang bersifat pelbagai kaum dan agama,” katanya.
Selain itu menurut Asri lagi, media-media pro-Umno menonjolkan pandangan-pandangan agama “jalur keras” yang dibuat oleh tokoh-tokoh agama yang dipilih, seakan berpihak kepada parti dominan Barisan Nasional.
“Akhirnya, Islam menjadi mangsa, Umno dipandangkan berbahaya,” kata Asri dalam tulisan terbaru blognya dan disiarkan ketika berlangsungnya perhimpunan agung tahunan parti itu.
“Maka, politik idea dan ilmu hendaklah dimakmurkan. Politik ‘yes man’ tanpa memikirkan apa yang diungkapkan hendaklah dielakkan,” kata beliau sambil menambah, “inilah yang terjadi apabila slogan Islam Hadari dilaungkan dan yang lain hanya mengangguk tanpa memberikan pandangan yang kritis.”
“Akhirnya, slogan itu memakan diri Umno. Inilah pandangan saya yang ikhlas dan sepintas lalu untuk Umno dan juga parti-parti politik yang lain,” kata beliau yang tetap berterima kasih kepada Umno yang menjemputnya menghadiri persidangan agung tahunanya kali ini walaupun memberikan pandangan agak “tajam” buat parti itu.
Beliau juga menghadiri forum sempena perhimpunan agung tahunan kali ini dan memberikan pandangan yang hampir sama nadanya.
Malah Asri pernah disebut-sebut akan menyertai Umno Jun lalu bersama 40 ulama muda tetapi menegaskan beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik buat masa sekarang.
Beliau juga menyentuh soal itu dalam tulisan terbarunya ini.
“Politik kita sepatutnya pergi lebih jauh daripada sekadar mengisi borang ahli.
“Politik bukan sekadar dalam kepungan pagar-pagar kepartian. Politik sepatutnya berteraskan pemikiran dan idea.
“Jika politik diukur dengan pandangan dan idea, saya kira saya telah cuba melakukannya selama ini,” kata beliau.
Kata Asri, ruang menerima perbezaan nampaknya masih ada dalam Umno dibandingkan dengan sesetengah kumpulan politik yang lain.
Asri juga berkata, beliau tertarik dengan isi ucapan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang menurutnya telah melakarkan politik yang lebih terbuka dan politik era baru.
“Sayap-sayap yang lain, minta maaf, pada saya masih lagi dalam ‘rentak semalam’ dan belum menggambarkan politik era baru,” katanya.
Mengulas lanjut berhubung kedudukan Umno dalam membawa isu, Asri juga menegaskan, rakyat berharap parti-parti yang wujud dalam negara ini bersaing secara sihat.
“Mereka hendaklah menjadi pasaran idea yang menguntungkan negara. Mereka hendaklah bak pasar terbuka yang menyediakan barangan segar dan berkualiti yang dapat dinikmati oleh rakyat.
“Sesiapa yang berjaya menyediakan barangan yang terbaik dan memenuhi inspirasi rakyat akan mendapat tempat,” kata beliau.
Asri menambah, rakyat akan memberi sokongan kesetiaan dan undi dalam pilihan raya dan oleh itu, setiap parti hendaklah bertungkus-lumus menyediakan idea-idea politik dan kenegaraan yang berkualiti dan praktikal untuk sebuah negara bernama Malaysia.
“Ini politik Ulul Albab, politik golongan yang matang dan masak fikiran mereka,” katanya lagi.
Asri juga berkata, bukan kerja sebuah parti politik itu sekadar untuk menceritakan kelemahan lawannya sedangkan mereka sendiri kontang idea.
Katanya, politik menuding jari kesalahan orang lain tanpa mampu membukti kemampuan diri adalah politik adu-domba yang tidak sesuai untuk sebuah negara yang aman dan merdeka.
“Politik yang sekadar menceritakan hal ‘kain orang’ sehingga terlupa diri sendiri, tidak akan mampu membawa kita ke mana.
“Kehebatan ceramah atau ucapan politik bukanlah apabila ia sarat dengan mengutuk lawannya, tetapi kehebatan apabila mampu memberikan pandangan dan idea yang dapat membangunkan rakyat dan negara,” katanya lagi.
Asri menambah, Islam adalah teras politik orang Melayu, bahkan bagi semua mereka yang mendakwa dirinya Muslim.
Tegas beliau, kejayaan “kita hanyalah apabila kita kembali berpegang dengan Islam yang tulen seperti mana yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya.”
“Tiada siapa yang patut berbeza pendapat dalam hal ini. Tokoh-tokoh politik Muslim dalam negara ini hendaklah mendalami dan mempelajari politik dalam kaca mata Islam.
“Politik dalam Islam sangat luas, fleksibel dan praktikal, namun sentiasa bertunjangkan wahyu. Bukan semua cakap ‘ustaz’ tentang politik itu boleh ditelan.
“Politik ada disiplinnya yang tersendiri yang memerlukan keluasan pengetahuan tentang maqasid syarak yang memberikan kebaikan kepada rakyat dan negara.
“Sekadar mempelajari beberapa hal dalam agama belum tentu dalam mendalami maksud politik dalam Islam,” katanya lagi.
Oleh itu kata Asri, tafsiran politik sempit sekalipun atas nama Islam hendaklah ditolak.
Ini kerana tegas beliau, politik dalam Islam tidak sempit tetapi luas dan lebar berteraskan masaalah rakyat.