Jangan diperlekeh kuasa rakyat – nanti kecundang
BY ASPAN ALIAS

Bagi setengah pihak rombakan kecil yang dilakukan oleh UMNO diperingkat perhubungannya memang mendapat sokongan dari banyak pihak. Mereka berpendapat mereka akan mudah untuk melalui pilihanraya umum ini dengan kejayaan yang lebih besar dari pilihanraya yang dulu. Rombakan ini juga akan memudahkan lagi rakyat membuat keputusan muktamad pihak mana yang mereka akan sokong.

TETAPI pihak yang bergembira yang saya maksudkan itu ialah pihak Pakatan Rakyat (PR) bukannya pihak kita. Penyokong-penyokong PR rata-rata memberikan sambutan hebat kepada rombakan yang dilakukan oleh UMNO kerana mereka telah mengetahui yang rombakan ini adalah rombakan yang sia-sia bagi UMNO.

Pemerhatian rakyat kepada UMNO dan BN masih tidak berubah kepada persepsi yang baik malah ramai dikalangan ahli-ahli UMNO hanya mendiamkan diri tanpa apa-apa respond kerana mereka kecewa dengan pengumuman yang dilakukan oleh Setiausaha Agung UMNO Malaysia baru-baru ini.

Kabarnya Shahidan Kasim telah menolak perlantikkan beliau sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan bagi negeri kecil itu dengan alasan yang beliau tidak boleh bekerjasama dengan pemimpin perhubungan yang lemah, iaitu Isa Sabu. Suara Shahidan itu merupakan suara dari seorang yang berani dan tegas dengan pandangan beliau.

Tetapi didalam UMNO tidak ramai yang berani memberikan pandangan secara terbuka kerana telah terbenam didalam benak ramai ahli UMNO hanya bercakap belakang sahaja. Didepan pemimpin mereka hanya pandai mengangguk seperti burung balam tetapi mereka akan melakukan berbagai-bagai tindakkan yang boleh menghancurkan parti didalam pilihanraya nanti.

Masalah bagi kita kegembiraan bagi pihak lawan. Dengan pengumuman yang hanya dilakukan oleh Setiausaha Agung ini menunjukan yang Presiden Parti menganggap tindakan merombak kecil diperingkat perhubungan ini hanyalah untuk melepaskan batuk ditangga sahaja. Jadi dari sudut hakikatnya UMNO dan pucuk pimpinannya sendiri adalah pihak yang memberikan dukungan kepada Pakatan Rakyat (PR) bukannya kerana kekuatan PR itu sendiri.

Oleh sebab itu jika kita menghadapi kekalahan tidaklah boleh kita salahkan pemimpin diperingkat bahagian dan cawangan; salahkanlah pucuk pimpinan sendiri. Itulah sebabnya saya tidak lupa untuk menegur pucuk pimpinan kita yang sudah terlalu jauh dari menterjemahkan perjuangan asal siasah mereka.

Kita selalu memberikan ugutan jika PR memerintah banyak agensi-agensi kerajaan akan dibinasakan oleh PR dan orang Melayu akan kehilangan segala-galanya.

TETAPI rakyat bertanya pula; siapa yang menjahanamkan agensi-agensi kerajaan dan GLC-GLC yang ada pada hari ini? Bukankah itu merupakan salah satu isu besar yang menyebabkan kehilangan keyakinan rakyat terhadap BN? Bukankah BN sendiri yang telah memperkudakan agensi-agensi dan GLC_GLC yang ada pada hari ini untuk kepentingan mereka yang tamak haloba itu?

Kita selalu menganggap orang lain akan berperangai seperti kita. Kita selalu berfikir orang lain juga akan melakukan apa yang kita lakukan. Apabila kita berperangai buruk, kita menganggap orang lain akan juga berperangai buruk.

Rakyat bukannya sebodoh itu. Rakyat sekarang mahu melihat kerajaan yang jujur dan transperan. Rakyat sekarang sudah faham bahawa negara ini mereka yang punya. Jika mereka merasa marah kerana ketidak sempurnaan pentadbiran negara mereka oleh mereka yang diberikan amanah itu mereka ada hak untuk mengganti dan menukarnya kepimpinan dan kerajaan.

Itu sebabnya saya sendiri ingin melihat pimpinan melakukan perkara yang baik dan ‘go back to basic’ kerana saya mempunyai sentiment yang tinggi terhadap UMNO yang sudah lama saya sertai. Itu sebab saya mengkritik dan membidas supaya kita tidak diambil alih oleh pihak yang lain. Tetapi jika itu kehendak rakyat maka tidak ada sesiapa yang boleh menahannya dari memberikan dukungan kepada pihakyang lain. Negara ini kepunyaaan rakyat. Kalau kita tidak berubah secara ‘total’ maka tidak salah lagi jika rakyat mengambil sikap membenci dan menolak kita dimasa depan.

Jangan mengonkong pemikiran rakyat yang sedang dalam pencarian. Kita mesti ingat jika kita sendiri sudah tidak betul bagaimana hendak menyuruh orang lain untuk membantu kita? Seperkara yang kita mesti ingat yang membuatkan rakyat sedang dalam pencarian ini disebabkan oleh kita sendiri.

Jadi adalah tidak adil jika kita membidas mereka yang dalam pencarian yang disebabkan oleh kelemahan kita. Kita yang menyebabkan mereka tercari-cari dan kebingungan kita pula yang membidas mereka….mana ada keadilannya? Rakyat adalah kuasa. Jika kita salah gunakan kuasa yang diberikan rakyat, mereka berhak untuk menariknya kembali.

Ini adalah hakikat. Jangan disoal-soal kuasa rakyat itu. Kesalahan banyak datang dari pihak kita.
Posted by Aspan Alias