PKR – POLITIK HABUK DAN HABUK POLITIK
Ditulis oleh Tongkat Bahaman
Sabtu, 20 November 2010 00:08

Sekoyong-koyong dan tidak semena-mena PKR telah menghadiahkan satu hidangan dari langit buat santaman UMNO. Sebuah parti bangsawan Melayu yang lahir hasil dari perlakuan sumbang kelas bangsawan ini dengan Inggeris pada tahun 1946 . Paling bermakna … . “ Pucuk dicita ulam mendatang… ” maka serigala tua inipun tersenyum lebar…..hingga kelihatan taringnya.

PKR yang lahir menerusi pintu belakang pun kemudiannya mengepak. Mata birunya yang lebam kerana dibelasah sudah semakin hilang kesannya. Sinaran cahaya lampu-lampu di Putrajaya yang dulu berbalam-balam kini dirasa semakin menyilau. Seperti ayam jantan di atas busut. Masing-masing mulalah mengepak sayap. Memasang angan-angan untuk bertenggek pada menara kuasa Putrajaya.

PKR tidak seharusnya tersilap congak. Rakyat memilihnya dalam PRU13 dulu bukanlah kerana kejaguhannya. Pemilihannya adalah kerana kebencian terpendam rakyat kian tidak terbendung terhadap serigala tua itu. Jangan terlalu gelojoh dan cepat lupa diri. Bila mendapat sedikit kepercayaan sudah lupa bahawa anggota parti dan rakyatlah yang menyokong dan itulah tenaga yang menggerakan parti itu serta mendorongnya ke depan.

Menyaksikan apa yang sedang melanda dan apa yang sedang berlaku dalam PKR hari ini menunjukkan bahawa percaturannya masih belum masak. Sekolah politik di Kemunting serta pengalamanya dalam UMNO belum mengajarnya untuk ia menjadi seorang pendekar yang matang.

Mengembangkan sayap kuasa di bawah konsep kepimpinan yang berpaksi pada diri pribadi hanya akan menampakkan ia tidak lebih daripada seorang oportunis. Imej split personality turut merangkul parti menjadi sebuah wadah politik yang tidak lebih hanya untuk membina semula jambatannya ke Putrajaya yang pernah musnah. Hanya dengan menjadi Menteri Perdana sahaja dendam mungkin berbalas dan malu mungkin tertebus.

“An War …” personaliti ini sebenarnya sentiasa dalam peperangan…. ! Sama ada di dalam atau di luar dirinya. Dari satu sudut, berjuang mendukung demokrasi tulen dan dalam masa yang sama tidak sanggup untuk berkomunikasi secara terbuka dengan organ parti. Personaliti ini merasai ia sentiasa benar dan merasai bahawa dia benar selama-lamanya. Ego intelektual tetap menggunung. Dialah yang terbaik dan tiada siapa yang boleh menggantinya.

Konflik dan krisis dalam sesebuah parti politik adalah suatu yang lumrah. Seperti UMNO juga ia begitu kerap dilanda krisis yang tidak henti-henti. Seperti UMNO, parti ini juga tidak memiliki satu sistem pulih diri. Ia semakin hari semakin berdebu dan berhabuk. Tanpa sistem komunikasi terbuka yang boleh meluruskan pemimpin supaya tidak tergelincir dari landasan perjuangan yang sebenar dan ikhlas untuk rakyat.

Sistem pulih diri ini hanya boleh wujud menerusi sistem komunikasi terbuka dalam parti iaitu dengan mengamalkan sessi-sessi kritik diri secara professional dan konsisten. Ia sebenarnya adalah sessi muhasabah diri pemimpin dan kepimpinan. Tanpa amalan sessi kritik diri seseorang akan berasa bahawa dia sentiasa benar meskipun sudah terseleweng. Ia berupaya menguji sifat demokrasi kepimpinan yang tulen. Sanggup duduk di tengah-tengah lingkungan pengikut dan organ parti kemudian memulakan kritik dirinya dengan penuh sedar serta sanggup menerima kritikan dengan jujur pula. Setiap kader parti juga harus mengamal disiplin yang sama demi kesinambungan kepimpinan tulen dan melahirkan barisan pemimpin yang jujur dan ikhlas. Mendukung cita-cita dan bersama dan bukan matlamat pribadi. Sikap kepimpinan yang berpaksikan diri serta meminggirkan suara orang bawahan adalah sikap yang dekaden. Sikap ini tidak diperlukan. Rakyat mendambakan politik yang lebih baik dari apa yang sedia tersaji.

Bukan sekadar demokrasi dalam soal kebebasan bersuara dalam media dan proses memilih perwakilan. Kerana ini demokrasi acuan Anglo-Amerika. Demokrasi tulen harus berani membuka dada, menerima teguran. Menjadi model unggul yang berjuang demi rakyat. Inilah makna demokrasi yang tulen.

Sessi kritik diri sebagai disiplin perjuangan sebenarnya adalah satu rawatan psikologi bagi mengekang ego. Ego boleh menjadi syaitan atau menjadi tempat bertenggeknya syaitan. Kritik diri boleh dilihat sebagai tatacara tindakan menghalau syaitan, membunuh sifat individualistik dan keegoan pribadi yang merupakan syaitan yang boleh menggelapkan pemikiran rasional seseorang pemimpin. Pemimpin begini jika diberi kuasa tetap akan menginjak kepala rakyat mungkin tidak kalah dengan apa yang dilakukan UMNO.

Tanpa wujud sistem kritik diri dalam parti dapat diumpamakan seperti sebuah bilik yang tidak pernah disapu. Habuk-habuk akan terkumpul jika bilik ini tidak dibersihkan secara konsisten. Minda ahli dan organisasi kerja parti juga juga akan berhabuk jika ia tidak dibasuh dan dibersihkan. Ia perlu kepada komunikasi secara terbuka dan terus menerus. Yang ditegur mesti menerima teguran dan memperbaiki segala kelemahan. Segala kelemahan perlu diperakui secara terbuka. Cara ini boleh mengelakkan habuk politik atau politik berhabuk yang lambat laun akan membawa virus dan kuman yang akan merosakan pemimpin dan ahli parti.

Apa yang terjadi di dalam PKR adalah soal ego. Ego Anwar untuk mengekalkan paksi kepimpinan dirinya. Mengawal PKR seperti dia pernah mengawal ABIM suatu ketika dulu. Tindakan Zaid menendang tangga itu sebenarnya tidak wajar. Dia melihat PKR itu Anwar dan Anwar itu PKR. Dia harus setia dengan parti walaupun menentang Anwar. Dia perlu membezakan antara kontradiksi terhadap musuh dengan kontradiksi dalam parti yang perlu diselesaikan dengan cara yang berbeza. Dia tidak harus lari dari perjuangan…

Jika Zaid berjaya menubuhkan sebuah parti baru, parti itu juga akan berhabuk juga sekiranya ia mendukung falsafah politik yang sama. Apakah dia boleh bertahan dan tidak penat…!. Selepas menjadi sasaran baru politik “National Geography UMNO”. Di asingkan dari kelompoknya lalu dikejar dan diburu hingga rebah seperti Anwar ingin di rebahkan.

Ego adalah musuh manusia dan musuh kebaikan. Ia menjadi syaitan dan akan menekan jiwa manusia menjadi rendah dan rakus terhadap kuasa. Mengeksploitasi setiap kesempatan dan keadaan. Menindas yang lemah dan menipu yang lalai dan bodoh. Melonjakkan diri mencapai impian pribadi dan akhirnya mengangkat dirinya menjadi tuhan.

Beberapa peringatan dari al-Quran tentang ego ini gagal menjadi renungan pemimpin-pemimpin politik pendewa demokrasi barat dan para pengikutnya.

“Sudahkah kamu melihat orang yang mengambil keinginannya (atau egonya) untuk menjadituhannya? Adakah kamu menjadi wakil kepada mereka?” (al-Furqan :43).

Ego dijadikan tuhan dengan menurutinya sambil kehendak Allah tidak dipedulikan.

“Sudahkah kamu melihat orang yang mengambil keinginannya untuk menjadi tuhannya, dan Allah menyesatkan dia atas satu pengetahuan, dan meletakkan satu penutup pada pendengarannya, dan hatinya, dan meletakkan satu penudung pada penglihatannya? Siapakah yang akan memberi petunjuk kepadanya selepas Allah? Apa, tidakkah kamu mengingati?” (al-Jatsiyah :23).

Jika kuasa pembangkang terpecah-pecah dan menjadi lemah bermakna suara menentang kezaliman UMNO tidak lebih seperti anjing liar yang menyalak bukit. Yang merempat di tepi longkang dan tidur di bawah jambatan. Bukan sahaja kambing di ladang akan dibaham serigala ini, malah yang di kandang juga turut menjadi mangsanya.

http://tongkatbahaman.com/component/content/article/34-tongkat-bahaman/62-pkr-politik-habuk-dan-habuk-politik.html