Kebaikan dan kelembutan rakyat – dianggap sebagai kelemahan

Najib nampaknya bersungguh untuk mendapatkan sokongan setiap kaum di negara ini untuk memberikan dukongan kepada pentadbirannya. Kesungguhannya nampak jelas dengan tidak putus-putus membuat pengumuman selepas satu pengumuman dan semuanya adalah untuk menambat hati rakyat untuk berdiri di belakangnya didalam pilihanraya umum yang bakal tiba.

Najib sedang melakukan ‘taici’ dengan semua pihak kerana beliau belum lagi berjaya untuk mencari ‘reconciliation point’ untuk menagih sokongan semua pihak. Tindakan beliau bercakap berlainan dengan berlainan bangsa yang dihadapinya itu menunjukkan beliau belum lagi mempunyai keupayaan untuk menarik sokongan semua pihak terhadapnya.

Apabila orang Melayu memberikan sokongan, sokongan itu datangnya dari lakunan beliau sebagai pejuang Melayu tetapi dalam masa yang sama MCA dan bangsa yang menganggotai parti itu akan membidas UMNO kerana mereka menganggap UMNO itu sebagai parti ‘racist’. Apabila beliau berhadapan dengan bangsa Cina beliau mengatakan yang orang Cina mempunyai hak samarata dengan konsep 1Malaysianya dan ketika ini orang Melayu pula akan ‘meroyan’ dan mengkritik beliau terutamanya dari PERKASA pimpinan seorang Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas.

Pendeknya Najib tidak mampu untuk mencari resepi yang mantap untuk mendapatkan sokongan menyeluruh dari kaum Melayu dan Cina. Sampai bila Najib bertahan untuk melakunkan watak yang bermuka-muka ini sama-samalah kita lihat dan perhatikan.

Setelah bertindak membelakangkan semangat DEB dengan melupuskan syarat peruntukan untuk Bumiputra dalam pelancaran NEM tahun lepas tidak beberapa hari yang lalu diumumkan pula TERAJU untuk memantau penyertaan Bumiptra dan ianya adalah berlawanan dengan NEM ciptaannya itu. Bagi perlaksana dasar pegawai-pegawai kerajaan begitu keliru untuk melaksanakan yang mana satu hendak diikuti.

Kita tidak boleh mempunyai muka yang terlalu banyak wajah yang berbeza bergantung kepada tempat dan siapa yang dihadapinya. Tidak ada rekod yang membuktikan sifat bermuka-muka ini mampu untuk bertahan secara ‘sustainable’ dalam jangka masa yang panjang. Kawan-kawan kita dari bangsa Tionghwa pandai untuk menilai permainan ini. Itulah sebabnya mereka teah menunjukkan sikap yang terbuka bahawa mereka tidak boleh lagi bertahan untuk mengekalkan sokongan kepada BN.

Itu jugalah sebab utama kenapa DAP mendapat tempat di hati keseluruhan masyarakat Cina dan juga secara beransur-ansur mendapat sokongan dari kaum Melayu pada masa ini. Cadangan DAP utuk menurunkan bebrapa calun Melayu kali ini akan melengkapkan usaha DAP untuk melambangkan parti itu sebagai parti berbilang kaum.

Justru itu sebahagian orang Melayu akan pasti memberikan sokongan kepada parti yang tetap terlalu teruk dimomokkan oleh media massa negara ini sejak 40 tahun dahulu. Apabila DAP sudah mendapat tempat dihati rakyat maka ianya bukan lagi satu usaha yang mudah bagi BN khusunya MCA untuk menyaingi sokongan rakat terhadap DAP. Rakan-rakan Melayu dan India Muslim di P Pinang khususnya telah nampak bukti bagaimana urusan kerajaan P Pinang lebih baik dari kerajaan BN dahulu.

Majlis-Majlis Perbandaran di Pulau Pinang buat kali pertama telah berjaya mendapat pendapat ‘surplus’ yang agak besar dan ini tidak pernah berlaku semasa parti GERAKKAN memerintah P Pinang selama 40 tahun dahulu. Bukti ini dilihat dengan mata-kepala rakyat dan ianya membuktikan kerugian yang dialami oleh kerajaan tempatan di Pulau Pinang selama ini adalah kerana ketirisan dan rasuah yang tidak dapat dikawal.

Berita ini tentulah tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan BN di Pulau Pinang kerana mereka lebih suka untuk melihat kerugian di Majlis-Majlis Tempatan untuk dijadikan isu politik tempatan. Itulah sebabnya ramai rakan-rakan di Pulau Pinang memberitahu bahawa cita-cita BN khusunya UMNO dan MCA untuk mengambil alih kuasa kerajaan di Pulau Pinang bolehlah dianggap seperti mimpi di siang hari sahaja.

Jika calun-calun MCA dikalahkan didalam pilihanraya yang akan datang oleh DAP maka DAP akan mendapat nikmat sokongan orang-orang Cina dan Melayu dan parti itu merupakan parti yang tunggal untuk mewakili suara kaum Cina di negara ini. Ini sangat berbeza dari dahulu dalam mana kaum Cina yang diwakili didalam kerajaan Persekutuan dan Negeri diwakili oleh dua parti kaum Cina iaitu MCA dan GERAKKAN.

Blog ini telah menyebut puluhan kali untuk kita semua memulakan politik baru yang boleh mentautkan perbezaan diantara kaum di negara ini. Ianya mestilah dilakukan oleh seorang yang berpengalaman yang dihormati oleh semua kaum dan mempunyai sifat ‘magnanimity’ yang tinggi. Kita terpaksa mencari seorang Melayu yang boleh bercakap secara benar dan jujur dan boleh ikuti oleh semua kaum.

Pemimpin serupa ini sudah tiada di dalam barisan kepimpinan kita maka itulah sebabnya pucuk pimpinan kita adalah seperti cicak kubin yang berubah warna mengikut tempat dia hinggap dan melekap.

Kita sekarang menyaksikan tindakkan kita cuba untuk menunjukkan segala kelemahan yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat (PR) sebagai kaedah untuk mendapatkan keyakinan orang ramai. Tidak apalah kaedah itu kerana itu merupakan cara politk yang lazim bagi poitik dunia ketiga ini. Tetapi kita mesti juga menunjukkan kebaikkan dan kejujuran kita didalam mentadbir kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri-negeri yang masih ditadbir oleh BN.

Mengambil alih kerajaan negeri Perak secara ‘illegitimate’ dua tahun lalu hanya membebankan UMNO kerana rakyat Perak sedang menunggu masa untuk mengembalikan kerajaan negeri itu kepada PR. Memecah belahkan wakil-wakil PR di Dewan Lagislatif tidak menghambat sokongan rakyat kepada PR yang pernah disokongnya dahulu.

Tindakkan merampas kuasa yang dilakukan di Perak telah menyentuh perasaan rakyat kerana rakyat bukannya memilih BN dalam pilihanraya itu, tetapi dengan kuasa yang ada di Persekutuan itu telah digunakan untuk melakukan perkara yang tidak disenangi oleh rakyat Perak.

Jika kita halusi keadaan yang ada sekarang kita melihat dengan terang dan jelas, banyak pihak yang telah menubuhkan badan-badan siasah untuk menumbangkan BN. Usaha semua pihak untuk berunding bagi menghadapi BN satu lawan satu yang diperkatakan dimana-mana itu bukti jelas yang terlalu banyak pihak yang ingin menjatuhkan BN khususnya UMNO.

Di Malaysia Timor (Sabah dan Sarawak) usaha sedang giat dijalankan untuk mencari titik persefahaman diantara MCLM, UBR dan SNAP di Sarawak dan ini membayangkan terlalu banyak pihak yang mahu melihat BN kali ini gugur didalam pilihanraya yang akan datang. Walaupun mereka berbeza tetapi mereka mempunyai motif dan niat yang sama; iaitu untuk memberikan pengajaran kepada BN yang mereka anggap sudah keterlaluan mengambil kelembutan rakyat ‘for granted’ atau sebagai satu kelemahan.

Jika titik persefahaman itu dicapai maka kita akan menyaksikan perubahan kepada ‘pattern’ politik tanah air dalam masa yang sesingkat ini. Politik bukan sesuatu yang static tetapi ianya sentiasa hidup dan berubah mengikut masa dan keadaan.

Di Sarawak menumbangkan BN itu bukanlah suatu usaha yang tidak dijangkakan kerana Taib Mahmud sudah menjadikan Sarawak sebagai negerinya sendiri. Sehebat mana pun pemimpin itu sejarah dunia telah membuktikan yang pemimpin yang duduk ditampuk kuasa terlalu lama akan menjadikan negeri atau negara itu kacau bilau.

Salah seorang dari bapa saudara saya berpesan, ‘jika kau jadi guru besar, jangan duduk di satu sekolah itu lama-lama, nanti kau ingat sekolah itu kau yang punya’. DAN itu pun hakikat yang berlaku di Sarawak.

Fun Email from roslan mohd