MARA akan taja 128,800 pelajar dari tahun 2011 hingga 2015

by KomunitiKini on 20 Mar, 2011

Majlis Amanah Rakyat (Mara) mensasarkan penajaan 128,800 pelajar sepanjang Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) yang bermula tahun ini hingga 2015.

Anggota Majlis Mara Mohamad Saufi Deraman berkata jumlah itu adalah peningkatan lebih 20,000 orang berbanding 118,308 orang yang ditaja sepanjang RMK9.

“Ini selaras hasrat Mara untuk menjadi pemacu dan peneraju pembangunan modal insan di negara kita yang terkenal mempunyai sistem pendidikan menengah yang cemerlang dan berkualiti,” katanya berucap merasmikan Karnival Pendidikan Mara2011, di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan itu juga menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memajukan bidang pendidikan pada kalangan pelajar bumiputera.

Ini kerana katanya, kerajaan mahu memberi peluang dan membantu mereka yang berpotensi untuk terus maju agar dapat meningkatkan kualiti hidup dan seterusnya menyumbang ke arah negara berpendapatan tinggi

Mohamad Saufi berkata ketika ini terdapat 305 institusi pendidikan Mara yang melahirkan 95,911 pelajar pendidikan tinggi, 111,516 pelajar pendidikan menengah dan 241,953 pelatih menerusi Giat Mara.

Selain itu katanya, seramai 312,434 pelajar tajaan Mara telah menamatkan pengajian di dalam dan luar negara.

Bagi sesi pengambilan tahun ini, Mara menawarkan 27,347 tempat untuk pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi merangkumi sijil, diploma, ijazah pertama dan sarjana.

Karnival dua hari di Stadium Sultan Muhammad IV itu disertai pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang mempamerkan kelebihan masing-masing menerusi 80 gerai.

– BERNAMA