Tukar RM93,000 rugi RM83,000
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Akibat terpengaruh dengan tawaran wang tunai RM93,000 sebagai ganti untuk hadiah percutian ke New Zealand dan Australia, seorang pegawai pemasaran kerugian kira-kira RM83,000 dalam kejadian baru-baru ini.

Difahamkan, pegawai pemasaran yang dikenali sebagai Liew, 44, menerima panggilan daripada wakil sebuah syarikat yang didakwa berpangkalan di Hong Kong ketika dia berada di sebuah pusat perubatan swasta untuk menjalani rawatan kesihatan, awal bulan ini.

Liew berkata, wakil syarikat terbabit memaklumkan dia memenangi hadiah percutian ke New Zealand dan Australia, tetapi disebabkan faktor kesihatan, dia menolak tawaran hadiah berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, lelaki terbabit menyatakan dia boleh menukar hadiah terbabit kepada wang RM93,000 dan tanpa mengesyaki sesuatu dia menerima tawaran terbabit serta berjanji membayar RM6,620 untuk bayaran cukai seperti ditetapkan syarikat antarabangsa itu.

“Selepas saya masukkan bayaran untuk cukai ke akuan milik seorang lelaki bernama Ong, wakil syarikat itu menghubungi saya supaya memasukkan pula RM8,935 untuk menjadi ahli syarikat yang akan membolehkan saya memenangi sebentuk cincin permata,” katanya di sini.

Menurutnya, dia menuruti permintaan wakil itu dan empat hari kemudian, dia menerima kejutan lagi selepas lelaki terbabit memaklumkan dia mendapat untung kira-kira RM3 juta selepas menjadi ahli syarikat.

“Saya diminta membayar 1.5 peratus daripada jumlah keuntungan bagi tujuan pengiriman wang ke Malaysia dan saya tidak mempunyai wang secukupnya.

“Pada mulanya, lelaki itu meminta saya membayar separuh, tetapi selepas itu, saya diminta membayar kira-kira RM21,000,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/TukarRM93_000rugiRM83_000/Article/