Kes tukar jantina diteliti
Friday, 22 July 2011 11:35am
©Utusan Malaysia (Digunakan dengan kebenaran)
Oleh YULPISMAN ASLI

JELI 21 Julai – Masyarakat diminta tidak mencemuh individu yang berdepan dengan krisis identiti, sebaliknya sama-sama mencari jalan bagi membantu golongan berkenaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pihaknya akan meneliti kes Mohd. Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 25, yang gagal dalam permohonannya untuk menukar jantina bagi membolehkan bantuan disalurkan.

Beliau berkata, walaupun tindakan lelaki itu jelas bertentangan dengan agama, tidak bermakna dia tidak boleh dibantu.

“Kami di kementerian melihat dari sudut kebajikan, kemanusiaan. Tidak ada sebab kita tak membantu individu yang memerlukan bantuan untuk menegakkan maruah mereka.

“Kita tak payah cemuh atau mengeluarkan kata-kata kesat kepada insan seperti ini, yang seeloknya kita bimbing dia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program 1AZAM Kembara Nur peringkat negeri di padang Sekolah Kebangsaan Gemang dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) kementerian, Mohamad Foad Abdullah; Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Hadzir Mohd. Zain dan Pengarah JKM negeri, Mohd. Nor Chik.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak permohonan Mohd. Ashraf Hafiz untuk menukar nama dan status jantina dalam MyKad kepada Aleesha Farhana.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata, tidak timbul soal salah faham di atas kesediaan kementerian untuk membantu Mohd. Ashraf Hafiz kerana bantuan yang akan diberikan adalah dari aspek kebajikan dan kemanusiaan.