PAS Pertahan Kampung, Umno-APCO Jual Pada Cukong
PAS akan menganjurkan Konvensyen Tanah dan Perumahan Kuala Lumpur pada Oktober ini sebagai satu usaha untuk menyelamatkan petempatan tradisi orang Melayu di ibu negara, yang terus menjadi “mangsa kerakusan” kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN).

Langkah itu dilihat akan membolehkan PAS mendekatkan dirinya dengan isu-isu menyentuh orang Melayu susulan perubahan landskap politik pada pilihan raya umum Mac 2008.

Konvensyen 22 Oktober itu adalah anjuran kerjasama Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS pusat dan PAS Wilayah Persekutuan.

Konvensyen yang dijangka akan disertai kira-kira 500 peserta akan memberi fokus ke atas permasalahan kritikal petempatan rakyat di Kuala Lumpur terutamanya masyarakat Melayu yang menuju “kepupusan terancang.”

“Orang Melayu di bandar tidak nampak kesungguhan kerajaan untuk membela nasib mereka terutamanya petempatan-petempatan tradisi termasuk Kampung Baru tetapi apa yang ada adalah usaha untuk menghakis bilangan orang Melayu di bandar.

“Kita ada 12 kawasan Parlimen tapi hanya ada tiga kawasan yang majoriti orang Melayu ramai, perkara ini kita tidak boleh kekalkan dan ia sudah menjadi perkara yang tidak boleh kita biarkan,” kata Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Nor Mohamad pada sidang media di sini.

Tegas beliau, Umno-BN tidak berusaha untuk menyelamatkan petempatan-petempatan tradisi Melayu seperti Kampung Baru, Kampung Padang Balang, Kampung Puah dan Kampung Pasir Baru.

“Jadi sudah sampai masa kita kemukakan penjelasan tentang apa sebenarnya yang berlaku sehingga perkara ini timbul… kerajaan bukan nak selamatkan tapi nak menghilangkan kampung-kampung Melayu dan BN nak ketepikan orang Melayu di bandar,” katanya.

Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nasaie Ismail pula berkata, terdapat banyak masalah yang menyebabkan petempatan tradisi Melayu semakin “pupus” termasuk kesan daripada projek-projek pembinaan yang dilakukan kerajaan.

Tegas beliau, kerajaan sepatutnya membantu mempertahankan petempatan tradisi Melayu, bukan “menghapuskannya.”

“Kampung-kampung tradisi yang sebahagian besarnya hendak diambil kerajaan bagi membangunkan projek-projek mewah dan komersial yang akan menyebabkan penghakisan tanah milik orang Melayu khususnya rakyat bawahan malah ada perkampungan yang sudah berusia lebih 100 tahun.

“Selain itu Kampung Baru yang terdiri daripada tujuh kampung kecil juga hendak dibangunkan sehingga tiada jaminan penduduk asal menjadi pemilik mutlak aset begitu juga dengan banyak perkara-perkara lain yang melibatkan perkampungan tradisi Melayu serta kaum lain juga,” katanya.

Nasaie menambah: “Perkampungan-perkampungan tradisi Melayu sedang menuju hari pengakhiran dalam Umno-BN dan ia semakin mengecil dan hampir pupus.”

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS pusat Mazlan Aliman menegaskan, kerajaan perlu mengiktiraf petempatan tradisi Melayu yang berusia lebih 100 tahun termasuk Kampung Baru.

“Panggil Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) untuk iktiraf kampung-kampung ini sebagai kampung warisan dan bila sudah diiktiraf oleh Unesco kerajaan tidak boleh buat apa-apa.

“Kita perlu ada mekanisme untuk pastikan perkampungan tradisi ini kekal walaupun pembangunan berjalan sebab kalau kita lihat kampung-kampung ini semakin mengecil dan menjadi mangsa kerakusan dalam projek-projek kerajaan,” kata ahli jawatankuasa kerja PAS pusat ini.